CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, July 26, 2010

Takut perkara begini terjadi... :(

KUALA LUMPUR 26 Julai - Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Laskar Udara Kanan, Hasnizam Ab Wahid, 26, maut ketika menjalani latihan penerjunan payung terjun di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Mejar Kamarulzaman Ali berkata, kejadian pada pukul 1.10 petang itu berlaku ketika mangsa sedang menjalani kursus terjun statik tempur bersama 26 anggota lain.

"Mangsa ditemui dalam keadaan parah dan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.59 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Besut.

"Mangsa dan kesemua anggota yang menjalani kursus tersebut mempunyai pentauliahan dalam bidang penerjunan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarulzaman memberitahu, jenazah Hasnizam akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Simpang Batu 5, Batu Pahat, Johor, dengan menaiki pesawat C130H dari Pangkalan Udara Gong Kedak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai malam ini untuk dikebumikan.

Jelasnya, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noraniza Zakaria.
Sementara itu di Batu Pahat, Nik Hasnah Nik Yeh, 47, hanya mampu mendakap erat kain berwarna kuning keemasan yang dihadiahkan anaknya.

"Angah belikan kain ini semasa hari jadi mak cik untuk dipakai hari raya ini, tak sangka dia tak sempat nak melihat mak cik memakainya".

Ketika ditemui di rumahnya di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima di sini malam ini, Nik Hasnah memberitahu arwah membelikan kain itu pada hari lahirnya 3 Mac lalu dan turut membelikan kain yang sama jenis dan warna untuk isteri dan adik beradik perempuannya.

Menurutnya, Hasnizam juga menghubunginya malam tadi bagi memaklumkan yang dia akan melakukan penerjunan hari ini.

"Angah telefon malam tadi minta saya doakan supaya dia selamat melakukan penerjunan. Ini kali kedua dia buat terjunan,'' katanya.

Nik Hasnah berkata, arwah menyertai TLDM pada 2002 dan baru setahun menyertai Paskau.
Katanya, arwah ialah anak kedua daripada enam beradik dan merupakan seorang yang agak pendiam tetapi rapat dengannya.

Arwah, katanya, mendirikan rumah tangga dengan Noraniza Zakaria, 22, pada 31 Oktober 2009 dan masih belum dikurniakan anak.

Menurutnya, isteri arwah yang berasal dari Pahang ketika ini masih mengikuti kursus jururawat.

Sementara itu, bapanya, Ab. Wahid Saim, 52, yang merupakan pesara tentera reda dengan pemergian anaknya itu.

"Mana-mana pun kita boleh mati. Sebagai bekas tentera, saya faham tugas anak saya dan reda dengan pemergiannya," katanya.

Ab. Wahid berkata, jenazah akan dikebumikan di sebelah pusara nenek arwah, Fatimah Buang di Tanah Perkuburan Masjid Mampan, Simpang Lima, di sini secepat mungkin.

Dalam pada itu, adik bongsunya, Nurul Fatihah, 11, memberitahu arwah sangat rapat dengan adik beradik perempuan dan selalu berpesan supaya mereka rajin belajar.


Mohon pada Allah semoga 'orang itu' dipelihara... Amin..

0 comments: