CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, December 1, 2009

GULA!!

Jangan sedia minuman bergula - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Menyedari pengambilan gula berlebihan boleh memudaratkan kesihatan, pejabat-pejabat kerajaan dicadangkan supaya tidak menyediakan minuman bergula semasa mesyuarat atau majlis rasmi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bukan saja menjimatkan malah memberi pilihan kepada pengguna yang mengelak mengambil gula berlebihan untuk penjagaan kesihatan.
"Kita menggalakkan pejabat kerajaan yang mahu mengadakan mesyuarat atau majlis rasmi supaya menyediakan minuman dengan tidak membancuh gula.
"Cara ini mengawal pengambilan gula berlebihan kerana mereka mempunyai pilihan sama ada meletakkan gula atau susu ke dalam minuman mengikut sukatan disukai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Kempen Kurangkan Pengambilan Gula di pusat beli-belah The Mall di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom; dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S. M. Mohamed Idris.
Ismail Sabri berkata, penjagaan kesihatan berkualiti dan gaya hidup aktif menjadi teras utama kepada peningkatan kualiti hidup rakyat negara ini.
"Jika diukur kepada jangka hayat rakyat negara ini, terdapat peningkatan jangka hayat wanita daripada 73.5 tahun pada 1990 kepada 76.4 tahun pada masa ini.
"Jangka umur lelaki pula meningkat daripada 68.9 tahun kepada 70 tahun dalam tempoh sama," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, syarikat yang menawarkan pelaburan berbentuk skim berkepentingan kepada orang ramai perlu mendaftar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengelak tindakan undang-undang disebabkan perniagaan yang tidak sah.
"Mana-mana syarikat mahu menawarkan pelaburan berbentuk skim mestilah mendapat kelulusan daripada SSM.
"Tanpa kelulusan, mereka boleh dikenakan tindakan seperti dialami Island Red Cafe yang menjalankan perniagaan francais dan mengutip yuran francais tidak sah," katanya.
Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Ismail Sabri memaklumkan, SSM sedang menyiasat Island Red Cafe di bawah Akta Syarikat kerana menawarkan pelaburan berbentuk skim berkepentingan yang tidak sah kepada orang ramai.

sumber: UTUSAN 2 Disember 2009

0 comments: